Saturday, August 13, 2011

AKU dan BORIA

Kumpulan Boria Kampung Makam 1975
Boleh dikatakan lapan puluh peratus anak Pulau Pinang lelaki  terlibat dengan BORIA. Aku juga begitu. Diusia yang agak muda 19 tahun ketika itu, aku mencampuri satu kumpulan boria sebagai
pemain gendang panjang. Cuba cari aku diantara kawan2 lain dalm photo itu.  Boria di Pulau Pinang diperkenalkan pada penghujung abad ke-19.  Ia adalah gabungan tarian, muzik, nyanyian dan sketsa. Persembahan Boria terdiri dari ketua kumpulan, penyanyi utama, penyanyi latar, pelawak dan pemuzik. Ketua kumpulan dinamakan tukang karang yang mencipta irama Boria dan senikata pantun. Terdapat dua bahagian persembahan - dimulakan dengan sketsa iaitu lakonan berupa lawak jenaka yang mengupas masaalah seharian  kehidupan masyarakat. Walaupun sketsa lawak jenaka tapi terdapat sindiran tajam yang ditujukan pada masyarakat. Selain cerita lawak, ada juga cerita2 koboi, arab, dan cerita persilatan.
Sejarah Boria bermula di Parsi turun ke India dan berkembang ke Pulau Pinang dibawa oleh India Muslim yang berdagang kesini. Mereka kerap singgah dipelabohan Pulau Pinang yang maju ketika itu selain di Singapura. Boria pada mulanya dimainkan dalam keramaian untuk mengenang kematian Saidina Husin di peperangan Karbala pada 10 muharam telah dipergunakan oleh kongsi2 gelap Melayu sebagai medan untuk mereka tunjuk handal. Akhirnya berlaku pertemporan dan rusuhan antara kongsi2 gelap ini yang pada masa itu di gelar Bendera Merah dan Bendera Putih. Ini berlaku sekitar 1920. Terdapat 40 hingga 50 kumpulan boria yang terdapat di kedua2 kumpulan ini. Setiap kali ada persembahan, setiap kali lah ada pergaduhan walaupun asalnya bermula dari permainan boria. Ini kerana kedua2 belah pihak akan sindir menyindir dalam persembahan masing2.  Gejala ini meninggalkan kesan buruk pada masyarakat Melayu Muslim di Pulau Pinang.  Hidup mereka berpecah belah, berpuak2 mengikut kawasan kumpulan bendera. Murid2 ponteng sekolah, anak muda ponteng kerja, suami abai tanggongjawab terhadap rumah tangganya. Malah ada yang kena buang kerja kerana asyik dengan boria. Agama Islam tercemar bila mereka minum arak sebelum membuat persembahan dan berakhir dengan pergaduhan.
Menjelang abad ke-20, pengaruh Bendera Putih dan Bendera Merah berkurangan apabila kerajaan mengambil langkah pengawalan yang lebih tegas.
Aku memasuki alam Boria dizaman segala gejala tidak sihat ini sudah berakhir. Kami bermain boria dan meneruskan tradisi ini atas nama seni dan kebanggaan menjadi anak Pulau Pinang. Ada boria dari Kumpulan Sungai Pinang, Kampung Rawana, Kampung Dodol, Tanjung Tokong, Kampung Makam, Kampung Jawa, Boria Jalan Hatin dan banyak lagi. Kami tidak bermain boria untuk mengingati kematian Saidina Husin lagi tetapi kerana 'enjoyment' dan memperbanyakkan kawan baru. Ini saja seni yang mewakali kami di Pulau Pinang. Zapin dan Inang adalah seni yang kami pinjam dari negeri lain. Tapi boria kami yang punya, seperti dikir barat milik Kelantan.
Aku memasuki kumpulan Boria Kampung Makam. Bersatu mencipta jalan cerita, irama dan senikata lagu. Akhirnya muncul sebuah cerita yang kami  namakan 'Awang Cucu Datuk Merah' ia sebuah cerita melayu lama yang bertemakan persilatan. Boria Kampung Makam suka pada cerita2 ala silat kerana ramai anak muda kampung itu suka bersilat.  Aku diberi peranan memukul gendang panjang saja bersama Budin. Dalam persembahan boria, selalunya tukang gendang terdiri dari dua orang yang posisi mereka dibarisan hadapan penyanyi latar yang dinama 'sailors' tapi bermain dikiri kanan atas pentas.
Seingat aku, Budin dan aku akan menjadi perhatian penonton di Padang Lorong Kulit setiap kali kami muncul dipentas memukul gendang panjang dengan cara dan gaya yang unik mengikut irama ciptaan kami.
Aku masih ingat lagi rangkap pertama pantun boria Awang Cucu Datuk Merah :-

                                         Kisah di arah dengannya tabah
                                                     Cerita Awang kami persembah
                                         Cucu Datuk Merah tajuk di gubah
                                                      Umno Kampong Makan dasar diubah

Terdapat hampir 24 rangkap pantun yang kami nyanyi. Tukang karang akan berpantun dan kami sebagai 'sailors' akan menjawab dengan menggunakan rangkap pantun seperti diatas. Lirik-lirik pantun dicipta mengikut jalan cerita yang digubah.
Sketsa perembahan yang  berjalan selama 30 minit tetap menggunakan dramatic structure 3 act play. Ada pemaparan cerita, konflik, act II dimana ada penghurian dan konflikasi, plot yang berkembang dan akhirnya pemnyelesaain.  Begitu juga sketsa lawak. Pengakhiran selalunya 'happy ending'.
Yang 'klise'nya watak tok ketua, tok penghulu atau  watak yang berhormat akan settle semua konflik2 dan mengajak kepada 'perdamaian'. Maka selepas itu segmen menyanyi dan menari pun muncul.
Tukang karang boria adalah watak glamour diatas pentas. Dengan 'tongkat' ditangannya, sambil menyanyi dia akan memusing-musing tongkat, malah adakalnya dia akan lambong tongkat keudara
semasa 'sailors' sedang menyanyi. Tukang gendang sepertu aku dan Badin akan menggayakan sesuatu
aksi yang menarik perhatian penonton. Aku akan melipat kaki bertingkah semasa memukul gendang untuk memberi 'fill in' pada penukaran irama.
Tak banyak yang aku ingat kawan2 yang mengambil peranan dalam boria itu. Shaarani hero memegang watak Awang.  Fatimah heroin jadi Lela. Nordin  jadi ketua jahat. Nordin juga berperanan menjadi koreografer silat kerana dia memang pandai bersilat.
Hari ini tradisi boria masih ujud di Pulau Pinang dan menjadi kebanggan kami. Boria seperti juga Dikir Barat dan lain-lain tradisi rakyaat sudah di nasionalkan. Hari ini siapa saja boleh bermain boria seperti inang, zapin, dikir barat, canggung dan lain-lain. Boria hak kita semua.
Aku setidak-tidaknya puas menjadi anak Pulau Pinang kerana pernah melakar sejarah menjadi anak boria.







                         

No comments:

Post a Comment