Thursday, April 28, 2011

Pelayan Pejabat

Itulah gambar Sekolah Francis Light 2, Pulau Pinang tempat aku bekerja sebagai pelayan pejabat atau masa itu dikenali  office boy. Dizaman Orang Putih memerintah Malaya dulu, jawatan office boy selalunya diambil pekerja yang berusia dari 15 tahun.  Apabila usia mencapai 22 tahun nama jawatan itun ditukar ke Peon. Ini kerana kononnya usia 22 sudah dikira budak lagi. Bekerja sebagai pelayan pejabatm aku diberikan uniform kain khaki (lihat foto aku berdiri nombor dua dari sebelah kiri). Yang sebalah aku Rahim, kawan segelanggang silat dan dua orang lagi adalah kawan kami orang Perak. 
Sekolah Francis Light ini diambil sempena nama Kapten Francis Light yang kononnya mat salleh yang buka Pulau Pinang. Sebenarnya Orang Melayulah yang membuka Pulau Pinang. P. Ramlee sendiri belajar disekolah ini dari darjah satu hingga darjah lima. Sekolah ini berdekatan dengan Penjara Pulau Pinang, Hospital Besar, Padang Brown dan Stadium Bandaraya. Untuk sampai ke sekolah ini boleh jalan kaki saja dan disebelah stadium inilah rumah aku, Bayangkan aku boleh berjalan kaki ketempat kerja.
Oh ya.sebelum terlupa aku nak bagi tau yang aku belajar disekolah Dato Keramat (banggunan sekolah itu ada dibelakang foto aku. Tapi telah ditukarkan ke Pusat Pembanggunan Pelajaran dimana Sekolah Dato Keramat telah mendapat banggunan baru empat tingkat bersebekahan dengan Francis Light.
Bekerja sebagai pelayan adalah kerja biasa. Aku kena datang buka ofis, sampu sampah dan menyusun fail-fail pejabat. Bos aku bernama Lee Keat Chye. Pernah mengajar disekolah itu tapi apabila sekolah itu di pecah dua menjadi School I dan School 2, dia menjadi guru besar sekaligus pentadbir. Encik Lee orang baik disayangi oleh semua guru-guru dan lain-lain staff. Hanya empat hari aku bekerja disitu, kerani pejabat bernama encik Ong mati heart attack dan dia digantikan dengan kerani sementara bernama Chan Kwok Fai. Masa itu Chan baru berusia 24 tahun. Selepas tiga bulan Chan dilantik kejawatan penuh sebagai kerani pejabat.  Dalam pejabat yang ada ialah Chan, Lee Keat Chye, Tong dan aku.
Bekerja di pejabat sekolah, aku bukan sana deal dengan kerja pejabat tapi juga kena berhubung kerja dengan murid-murid sekolah dan guru-guru. Oleh kerana sekolah itu mengamalkan bahasa pengantarnya bahasa Inggeris jadi ramai guru dari bangsa Cina berbanding Melayu dan India, Seingat aku guru Melaya cuma cikgu Osman, Mahani isteri Osman, cikgu Mad Noor, Ustazah Zawawi dan cikgu Syed.
Kerja disini memang seronok. Sebagai staff yang paling muda, aku di sukai oleh semua staff dini. Aku banyak membantu kerja-kerja kerani seperti menaik surat (walaupun bukan kerja aku), belajar dan akhirnya menolong membuat monthly paysheet pekerja. Aku juga menolong guru-guru melukis gambar poster dinding waklaupun mereka memberi aku saguhati penat lelah aku, maklomlah aku boleh melukis. Yang paling menarik setiap kali datang penggal mpeperiksan, guru-guru berebut mengejar aku minta tolong mereka taip kertas soalan. Aku minta izin encik Lee Keat Chye dan dia izinkan tapi memberi amaran agar kertas soalan tidak bocor kepada kalangan ibu bapa. Hehehe...dia tahu aku juga terkenal dan baik dikalangan ibu bapa pelajar yang anak mereka sekolah disitu. Banyak duit luar aku dapat dibayar oleh  cikgu-cikgu yang menyuruh aku menaip kertas soalan peperiksaan. Masa itu printing menggunakan Stencil dan akhirnya di cetak pada mesin cetak stencil jenama Gestener. Sukar aku lupakan kerana mula-mula aku masuk kerja menggunakan mesin ini, baju uniform kerja habis terpalit dakwat hitam. Lama-lama aku aku mahir. Pihak sekolah membekalkan aku (undang-undang peruntukan pejabat style British dulu) sebuah basikal untuk kerja-kerja menghantar surat. Selepas setahun aku beli sebuah motosikal jenama Bridgestone 90 (sekarang tak ada jenis itu). Potongan motosikal ini agak sporty. Dengan kerja-kerja diluar pejabat, aku sudah ada ramai kawan dikalangan pelayan pejabat juga. Kami selalu bertukar-tukar idea tentang kerja dan kadang-kadang meronda dengan motosikal seperti juga anak muda lain.
Selepas tiga tahun aku bekerja, resah mula melanda. Aku terfikir apakah aku akan bekerja terus sampai kehari tua. Aku tidak mau menjadi pelayan pejabat sampai ketua. Aku mesti cari pekerjaan lain. Tapi dengan sijil SRP pangkat C, mana kerja yang layak untuk aku kecuali kerja kilang mungkin (yang bercambah di Bayan Baru ketika itu). Girlfriend yang kerja di kilang Intel mendesak agar boleh sentiasa bersama nya. Kami gaduh dan berpisah gara-gara aku tidak mau kerja kilang. Selepas itu aku tersangkut dengan sorang budak perempuan kerani pejabat. Dia tua dari aku dua tahun. Tak terfikir pun nak kawin.  Malangnya ada helang agak gagak menyambarnya. Aku tak mau cerita pasal dia kerana dia dah mati kemalangan. Semoga roh dia tenteram di alam kubur.
Namun frust tetap melanda di asak kuat oleh pekerjaan aku sebagai pelayan pejabat yang tidak menjamin
masa depan aku. Masa itu aku tak terfikir tentang apa sebenarnya aku mahu dalam hidup. Ya...aku memang mencintai bidang seni. Aku boleh melukis (berkongsi studio), boleh main muzik, penari, teater dan lain-lain tapi aku tidak pernah suarakan imian aku atau itupun belum tentu impian aku.

Dengan otak yang berserabut kerana frust dan pekerjaan, aku tinggalkan Pulau Pinang tanpa sebararang berita. Emak aku terkejut. Bapak membisu. Lee Keat Chye berulang kali datang rumah bertanyakan aku dan lain-lain kekecohan.

Aku sudah ada di Kuala Lumpur tanpa sebarang tujuan.

No comments:

Post a Comment